OKTOBER 2021

Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera


KUCHING: Mangsa ribut Isnin lalu, di Kampung No.6, di sini menerima sumbangan untuk membantu membaiki kerosakan rumah mereka.

Bantuan itu diterima daripada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N8 Satok. Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok, Datuk Ibrahim Baki yang mewakili Ketua Menteri di Masjid Darul Hana Patingan, kampung itu di sini.

Dalam ucapan ringkasnya, Ibrahim berkata sembilan ketua isi rumah menerima bantuan segera untuk membantu mangsa membaiki rumah yang terjejas ekoran angin kencang Isnin lalu.

Menurut Ibrahim, sebaik sahaja insiden itu berlaku, Ketua Menteri mengarahkan beliau untuk melihat kesan kejadian.

“Bumbung rumah mangsa rosak diterbang angin. Kita akan terus membantu bantu penduduk di sini jika ada yang menghadapi masalah atau musibah,” katanya.

Majlis ringkas itu mengikut prosedur operasi standard  (SOP). 

Menurut Ibrahim, walaupun Ketua Menteri sibuk dengan tugas-tugas rasmi namun beliau prihatin dengan penduduk di Satok.

Turut hadir, Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Samad Gany, Penghulu Kampung No.5 dan No.6 Mostapha Wahab, Ketua Ranting Kampung No.6, Mohamad Abdul Rahman Adenan dan Pengerusi Masjid Darulhana Patingan, Zamahari Hashim.

Sumber dari : Jiwa Bakti